Saturday 30 July 2011

Dakwat Kekal vs. Biometrik : Mana yang lebih baik?

Penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya merupakan satu daripada lapan tuntutan BERSIH 2.0. Ianya mudah, lebih murah dan sangat berkesan untuk mengesan pengundi berulang. Dalam tahun 2007, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah membuat keputusan untuk menggunakan dakwat kekal. SPR telah membatalkannya di saat-saat akhir atas sebab perundangan dan kemungkinan berlakunya sabotaj walaupun telah membelanjakan RM3 juta.


Baru-baru ini SPR bercadang untuk menggunakan biometrik untuk mengesan identiti pengundi pada pilihanraya akan datang (Petikan dari Berita Harian)


SPR guna biometrik
Oleh Johari Ibrahim dan Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my
2011/06/21
Teknik imbasan ibu jari sah identiti pengundi PRU ke-13

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan sistem biometrik atau teknik imbasan ibu jari bagi mengenal pasti dan mengesahkan identiti pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Untuk melaksanakannya, SPR akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan sistem biometrik yang diguna pakai beberapa agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen untuk mengesan kemasukan pendatang asing, digunakan pada pilihan raya umum akan datang.


Satu-satunya kelebihan yang ada pada sistem ini ialah biometrik boleh mengesan pemilik kad pengenalan secara berkesan. Terdapat beberapa isu dalam sistem ini yang perlu dipertimbangkan sebelum dilaksanakan.


1. MyKad yang kurang bermutu dan cepat rosak.


Tahun lepas, Berita Harian melaporkan 4.5 juta kad pengenalan hilang dan rosak. Jika separuh daripada 4.5 juta tersebut adalah pengundi berdaftar, bermakna 2.25 juta pengundi adalah pengundi berdaftar dinafikan hak mereka untuk mengundi. Terutama penduduk luar bandar yang tidak pernah menggunakan MyKad dalam transaksi harian mereka, mereka mungkin mempunyai MyKad yang rosak tetapi tidak mengetahuinya.


Kerajaan timbang ganti MyKad
Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Mohd Azis Ngah
bhnews@bharian.com.my
2010/05/04
KDN kenal pasti pelaksanaan, keputusan bergantung kepada peruntukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti untuk menggantikan MyKad dengan kad pengenalan versi baru yang lebih moden, terutama dari segi kegunaan dan ciri keselamatannya, namun perlu dilakukan berhati-hati kerana membabitkan perbelanjaan besar.


Kerajaan membelanjakan lebih RM1 bilion bagi menanggung kos pengeluaran MyKad dan sistem berkaitannya sejak mula diperkenalkan 10 tahun lalu bagi menggantikan kad pengenalan bermutu tinggi (KPT). Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam memberitahu Berita Harian, cadangan menggantikan MyKad pernah dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), namun ditangguhkan berikutan kekangan ekonomi.

“Kabinet memutuskan penukaran (MyKad) tidak dibuat ketika itu kerana belanjanya besar dan banyak projek lain yang perlu diberikan keutamaan. Ia seterusnya diserapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan diteliti sekali lagi. “KDN juga sudah mengenalpasti pelaksanaannya, namun belum ada apa-apa keputusan setakat ini dan semuanya bergantung kepada soal peruntukan kerana kita tidak mahu membebankan kerajaan dan rakyat,” katanya.

Beliau mengulas isu kehilangan dan kerosakan kira-kira 4.5 juta kad pengenalan pintar itu yang didedahkan akhbar ini, tiga hari lalu, dengan ada antaranya dikesan dipalsukan untuk pelbagai tujuan jenayah. Difahamkan, walaupun belum ada keputusan dicapai berhubung cadangan itu, namun pelbagai usaha menambah baik MyKad sedia ada tetap diteruskan, dengan keutamaan untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatannya.


2. Kos awalan yang lebih tinggi berbanding penggunaan dakwat kekal.


Penggunaan biometrik memerlukan perkara berikut :


a. Pembaca MyKad (MyCard Reader)
b. Komputer
c. Sistem Perisian
d. Perkhidmatan Jalur Lebar
e. Tenaga Elektrik
f. Latihan kepada petugas SPR


Sebagai contoh dalam Pilihanraya Negeri Sarawak , DUN Sadong Jaya mempunyai 16 Pusat Mengundi.
Anggapan secara minima satu komputer untuk 1 Pusat Mengundi. Jadi sekurang-kurangnya 16 buah komputer berserta pembaca MyKad diperlukan.
Anggapan kos RM3,000 untuk 1 Pusat Mengundi.
Kos untuk DUN Sadong = 16 x RM3,000 = RM48,000
Kos untuk seluruh DUN Sarawak jika dijadikan purata =
RM48,000 x 71 DUN = RM3,408,000


Jika anggaran kos di atas diambil kira, kos penggunaan biometrik untuk negeri Sarawak sahaja telah melebihi kos dakwat kekal untuk seluruh Malaysia. Jumlah ini hanyalah melibatkan 31 daripada 222 parlimen di Malaysia. Mengapa SPR hendak membazirkan wang rakyat untuk membuat sistem melibatkan kos yang tinggi sedangkan penggunaan dakwat kekal lebih praktikal dan murah?


3. Sistem Perisian yang belum teruji


Dalam pilihanraya umum, ada 222 Kawasan Parlimen di seluruh Malaysia yang akan berjalan serentak. Mampukah SPR menjamin sistem perisian berjalan lancar tanpa gangguan sedangkan sistem ini belum diuji dalam mana-mana pilihanraya?

4. Penipuan MyKad

Sistem biometrik tidak dapat mengesan berlakunya pengundian berulang jika adanya penipuan MyKad. Dakwat hitam boleh mengelakkan pengundi berulang berbanding sistem biometrik.

5. Perkhidmatan Jalur Lebar tidak meliputi ke seluruh Malaysia.

Perkhidmatan Jalur Lebar tidak meluas hingga ke kawasan pendalaman. Bagaimanakah sistem biometrik ini boleh berfungsi di pendalaman Sabah dan Sarawak?

6. Bekalan Tenaga Eletrik yang konsisten semasa pengundian dijalankan

Dapatkah Tenaga Nasional memberi jaminan bekalan yang berterusan semasa pengundian dijalankan? Apakah yang akan terjadi jika bekalan terputus dalam tempoh yang lama?



Penggunaan dakwat kekal tidak menggunakan bekalan elektrik dan perkhidmatan jalur lebar. Secara praktikalnya, penggunaan dakwat kekal ternyata lebih baik, berkesan dan ekonomik berbanding biometrik.

Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor

No comments:

Post a Comment