Monday 27 June 2011

Bersih 2.0: Halalkan Setiap Titisan Susumu..

Ibuku...
Halalkan setiap titis susumu..
Halalkan setiap keringatmu melahirkanku..
Halalkan setiap suapan ke mulutku..
Halalkan setiap air mata yang mengalir keranaku

Ayah...
Halalkan setiap rezeki yang kau kongsi untukku..
Halalkan setiap peluh yang kau tumpahkan untukku..
Halalkan setiap senyuman kegembiraanmu atas kelahiranku..

Isteriku...
Andainya ini adalah pertemuan terakhir kita..
Kaulah permata dalam hidupku..
Kaulah penyeri didalam alamku..
Kaulah srikandi indah padaku sebagai suami...
Sesungguhnya.. Aku redha dengan kehidupanmu sebagai isteriku..

Anak-anakku..
Maafkan ayah.. meninggalkan kalian disaat kalian memerlukan kasih sayangku..
Maafkan ayah.. meninggalkan kalian disaat gelak tawaku didambakan..
Maafkan ayah.. meninggalkan kalian disaat kalian menempuhi alam anak-anak kecil..

Pemergianku adalah mungkin yang terakhir...
Kerana.. mereka yang berkuasa disana sedang menanti..

Untuk memenuhi paru-paruku dengan gas canister yang perit..
Untuk membutakan mataku dengan asap yang pedih..
Untuk membelantan jasadku dengan cotar dan rotan..
Untuk mematahkan kaki dan tanganku dengan kasut yang berat!
Untuk memenjarakan jasadku didalam lokap yang hancing!

Adakah aku gentar?
Adakah kalian gentar?
Adakah ini penghenti perjuangan?

Tidakk!!
Demi Allah dan Rasul tidak sama sekali!

Mereka menyangka mereka berkuasa!
Mereka menyangka mereka ada segala-galanya!

Mereka boleh memenjarakan jasadku
Tetapi mereka tidak akan mampu memenjarakan jiwaku..

Kerana jiwaku ini milik Allah!
Hidupku ini milik Allah!

Bukan seperti mereka yang merasakan..
hidup mereka milik pemerintah!
Nyawa mereka milik pemerintah!
Jasad mereka milik pemerintah!
Setiap hela nafas mereka milik pemerintah!

Duhai sahabat-sahabat kesayanganku...
Aku akan pergi..
Aku akan berkelana..
Aku akan bermusafir..
Pada 9 Julai ini...
Menuju ke suatu arah yang pasti...

Disana..
Akan menyaksikan.. suatu peristiwa yang akan dikenang..
Oleh beratus generasi yang akan datang...

Jangan sampai ianya akan dikenang
sebagai peristiwa paling kejam dalam sejarah negara..
jangan sampai ianya dikenang
sebagai peristiwa paling zalim dalam sejarah negara..

kerana..
9 Julai ini akan menjadi bukti..
Bahawa rakyat negara ini bukan pengecut!
Jauh sekali dayus dan penakut!
berkata benar dihadapan pemimpin yang zalim!

Ayuh!
Mari korbankan nyawa dan jasad!
Mari hancurkan ketakutan dan kepanikan!
Sudikah kalian bersamaku !!! JOM BERSIH!


Solat Hajat Perdana Bersih 2.0

Assalamualaikum wbt.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan menganjurkan majlis tersebut pada :

Tarikh : 29 Jun 2011 (Rabu)
Tempat : Stadium Malawati, Shah Alam
Masa : 7.20 malam - maghrib berjemaah

Pimpinan yang akan berucap :

1. Tuan Hj Mohamad Sabu - Timbalan Presiden PAS
2. Ustaz Nasrudin At Tantawi - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
3. YB Dr Hj Abdul Rani Osman - Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor
4. Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan - Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

sebarkan makluman ini.

Friday 24 June 2011

Iklan Media DPPWP-Pertandingan Mencipta Video Bersih 2.0


Sempena Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganjurkan Pertandingan Mencipta Video Bersih 2.0 bagi mempromosikan himpunan berkenaan. Sehubungan dengan itu DPPWP menjemput mana-mana individu atau kumpulan yang berminat untuk menyertai pertandingan ini yang menawarkan hadiah :

Tempat Pertama - RM 500
Tempat Kedua - RM 200
Tempat Ketiga - RM 100

Kriteria Video Yang Dikehendaki :

1. Minimum durasi video adalah 2 minit dan maksimum 5 minit
2. Memaparkan gambar atau rakam video berkaitan rakyat dan pilihanraya yang kotor
3. Memaparkan gambar atau rakam video himpunan Bersih
4. Memasukkan maklumat tarikh dan tempat Himpunan Bersih 2011
5. Memasukan maklumat 8 tuntutan Bersih, iaitu:

-Bersihkan senarai undi
-Mereformasikan undi pos
-Gunakan dakwat kekal
-Akses media bebas & adil
-Masa berkempen minima 21 hari
-Kukuhkan institusi awam
-Hentikan rasuah
-Hentikan politik kotor

6. Muzik atau petikan suara atau ucapan sebagai latar digalakan (Keutamaan kepada ucapan pemimpin PAS)
7. Penggunaan ayat Al-Quran @ Hadis digalakan
8. Setiap video dikehendaki meletakan nama pencipta dan nama “Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan" sebagai penerbit
9. Video yang dicipta hendaklah tidak menyentuh sensitiviti atau menghina mana-mana kaum, agama, individu atau parti.

Maklumat lain:
1. Peserta boleh menghantar seberapa banyak video yang dikehendaki.
2. Video klip peserta akan turut dipaparkan dalam laman Blog DPPWP di (http://dppwp.wordpress.com) dan dibenarkan untuk dikongsi atau digunakan untuk tujuan promosi Bersih disemua jaringan sosial.
3. Peserta digalakan mempromosikan video mereka bagi mendapatkan rating penonton yang tinggi.

Penghantaran dan Tarikh Tutup:

1. Video yang telah siap hendaklah di muatnaik (upload) ke laman web Youtube mengunakan akaun peserta.
2. Peserta yang telah memuatnaik (upload) video mereka hendaklah menghantar link video berkenaan di Youtube ke email berikut - hermansamsudeen@gmail dengan tajuk "Pertandingan Video" dan menyertakan:
a. Nama Peserta
b. No. Kad Pengenalan
c. No. Telefon Bimbit
d. link video di Youtube 

3. Tarikh tutup pertandingan ini adalah pada 18 Julai 2011


Penilaian :
1. Penilaian akan dibuat berdasarkan:
a. Pematuhan kepada kriteria yang ditetapkan
b. Mesej video klip
c. Susunan plot dan jalan cerita video klip
d. Kualiti gambar dan pembikinan video klip
e. Komen dan jumlah penonton dalam Youtube


Keputusan:
1. DPPWP berhak untuk menerima atau menolak mana-mana penyertaan berdasarkan hasil penilaian kriteria yang ditetapkan tanpa sebarang makluman. 
2. Keputusan mengenai 3 video terbaik akan diumumkan pada 25 Julai 2011 melalui Blog DPPWP di (http://dppwp.wordpress.com) dan juga email kepada pemenang.

Pertanyaan:

Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut sila email kepada hermansamsudeen@gmail.com atau hubungi 019-216 8557 (Herman) / 012-698 4302 (Nurul Islam).

Sekian. Terima kasih.


Herman Samsudeen
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan

Hukum Aduan Rogol dan Qazaf

Semata-mata mengadu bahawa dia di rogol tidak boleh di anggap qazaf, kerana antara syarat menjatuhkan hukuman qazaf, mestilah terdapat aduan daripada pihak yang di dakwa berzina (maqzuf). Maka dalam kes ini, pendakwa yang mendakwa dia dirogol tidak boleh di anggap qaazif قاذف kerana tidak terdapat pengaduan (دعوى) daripada pihak maqzuf. – fiqh islami wa adillatuh. J 6 m/s 84.
Oleh itu, perbicaraan dalam kes dakwaan rogol ini mestilah melalui perbicaraan biasa, iaitu البينة على المدعي واليمين على من أنكر, bukan berkehendakkan kepada empat orang saksi sebagaimana penyaksian kes zina dan qazaf. Ini kerana, dakwaan zina tertumpu kepada si penzina (dan tiada kes penganiayaan), sedangkan dakwaan rogol adalah untuk menuntut hak yang di rogol kerana melibatkan penganiayaan. Nas mengsabitkan saksi seramai empat orang hanyalah dalam kes zina dan qazaf. Dan kedua-duanya berkehendakkan empat orang saksi kerana ia tidak melibatkan penganiayaan kepada si pendakwa. Berlainan dengan dakwaan mencuri, merompak dan lain-lain yang memadai dua orang saksi atau bukti-bukti lain seperti sumpah, pengakuan dan qarinah kerana ia melibatkan penganiayaan bagi pihak pendakwa.
Jadi dalam kes aduan rogol ini, ia melibatkan dua perkara: 1: aduan dia di aniayai, jadi ia memerlukan kepada bayyinah biasa (saksi @ pengakuan @ qarinah). 2. tuduhan berzina kepada si perogol, jadi ia memerlukan kepada 4 orang saksi yang adil. Jadi aduan terhadap penganiayaan ini mesti di dahulukan kerana ia merupakan hak hamba, sedangkan dakwaan qazaf, merupakan hak allah dan hamba secara bersama, dan ulama  khilaf samada ia hak hamba melebihi hak allah atau sebaliknya. Dalam masalah qadha’, hak hamba mesti di dahulukan berbanding hak allah secara mutlak.
Jadi berpandukan kepada ini, saya berpandangan, dalam kes aduan rogol ini tidak memerlukan kepada empat orang saksi sebagaimana dakwaan zina dan qazaf.  Oleh itu, saya melihat terdapat perbezaan dalam kes “seseorang yang menuduh seseorang lain berzina dan si pendakwa tidak teraniaya” (kes qazaf) dan “seseorang yang menuduh orang lain berzina dan si pendakwa teraniaya” (dalam kes aduan rogol). Dalan kes pertama, yang menuduh bukan bertujuan menuntut hak pembalasan terhadap penganiayaan keatasnya, dan kes kedua si pendakwa ingin menuntut hak pembalasan tersebut.
Oleh itu, kes rogol ini boleh di buktikan melalui dua orang saksi atau pengakuan daripada si perogol, atau qarinah. Dan dalam kes ini, qarinah adalah perkara penting kerana ia melibatkan kesuburan syara’ itu sendiri. Si pendakwa mesti di periksa samada ia masih dara atau tidak, bila kali terakhir ia melakukan persetubuhan (melalui pemeriksaan doctor), melalui DNA (jika ia dianggap bukti di sisi islam) dan seumpamanya. Jika segala dakwaan bergantung kepada saksi tanpa melihat kepada qarinah, maka banyak kes penganiayaan akan berlaku sebagaimana kata Ibnu qayyim
من أهدر الأمارات والعلامات في الشرع بالكلية، فقد عطل كثيرا من الأحكام، ووضع كثيرا من الحقموق. –الطرق الحكمية صـ 100.
Untuk membuktikan qarinah, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan harus tahanan reman dan mengirhab si tertuduh supaya mengaku. (Fikru al sami j 1 m/s 160.)
Terutamanya jika kita  melihat, yang mengadu adalah seseorang yang pemalu dan seorang yang iffah, jauh untuk melakukan dakwaan kerana ia melibatkan maruah dan harganya dirinya sendiri. Berlainan jika yang mendakwa seorang yang sebaliknya. Dan yang menentukan semua ini adalah qadhi yang bijaksana. Oleh itu, taqnin lebih baik bersifat umum daripada di perincikan (kecuali dalam keadaan tertentu).
Jika terbukti ia di rogol, maka tertuduh samada di hokum sebat @ rejam kerana berzina, atau ta’zir kerana melakukan kekerasan dan paksaan (jika zina tidak dapat di sabitkan kerana ia memerlukan empat orang saksi.) atau di kenakan bayaran (mahar) kepada yang di rogol.
Jika dalam masa yang sama (masa pendakwaan rogol di jalankan), tertuduh membuat dakwaan bahawa ia di tuduh berzina (dakwaan qazaf), maka perbicaraan qazaf mesti di tangguhkan sehingga perbicaraan kes dakwaan rogol selesai. Ini kerana, syarat bagi yang di tuduh dalam kes qazaf mesti seorang yang muhsan. Dan ini tidak dapat di buktikan sehingga kes dakwaan rogol ini selesai. Jika dia di dapati bersalah dalam kes rogol ini (walaupun bukan melalui empat orang saksi), maka ia di anggap tidak muhsan dan aduan qazafnya tertolak. Jika tidak akan berlaku sebaliknya, iaitu jika dia di dapati tidak bersalah, kemudian ia membuat aduan qazaf, maka jika sabit kesalahan, orang yang di dakwa di rogol tersebut akan menerima hukuman qazaf (samada dengan dakwaan sarih atau ta’ridh).
Disini juga timbul beberapa perkara yang perlu di lihat secara lebih teliti, adakah Rasulullah saw menjatuhkan hukuman qazaf kepada Hilal b. Umayyah ketika dia menuduh isterinya berzina dengan Syarik b. Samha’?  Jika di lihat kepada tuduhannya kepada isterinya, mungkin ia boleh di anggap sebagai lia’n (di syariatkan bersempena ayat yang di turunkan selepas peristiwa ini). Tetapi jika di lihat kepada tuduhan zina yang di lemparkan kepada syarik (secara tidak langsung, kerana aduan adalah antara hubungannya dan isterinya), sepatutnya ia di kenakan hokum had qazaf. Adakah di jatuhkan hukuman qazaf kepadanya? Saya tidak pernah menemui hadis yang menunjukkan ia di kenakan hukuman qazaf kerana tuduhan zina kepada syarik. Ini boleh di andaikan samada: kerana tidak ada aduan daripada syarik sendiri, atau kerana yang di tuduh secara langsung adalah isterinya, atau kerana tuduhan itu ialah kerana pencerobohan terhadap haknya (isterinya). Jadi berbeza dengan tuduhan dua orang yang berzina atau orang lain berzina tanpa ada kaitan dengan haknya.
Jika di lihat kepada andaian pertama, maka yang mendakwa di rogol tidak boleh di kenakan hukuman had qazaf, sebagaimana dalam kes ini, semata-mata aduan rogol tanpa ada empat saksi tidak boleh di kenakan hukuman had qazaf. Jika di lihat kepada andaian kedua, maka ia tidak boleh di jadikan hujah, kerana qazaf samada secara sarih atau ta’ridh. Jika di lihat kepada andaian ketiga, maka ia mempunyai persamaan dengan aduan rogol, iaitu kerana aduan terhadap pencerobohan haknya. Maka ia tidak memerlukan kepada 4 orang saksi sebagai mana aduan kes zina yang membawa kepada hukuman kerana ia melibatkan dakwaan dan pengaduan terhadap haknya sendiri. Maka andaian pertama dan ketiga lebih dekat kepada qias. Ini adalah qaedah sibr wa taqsim yang masyhur. Jika di sana terdapat dalil dan nas lain yang menyatakan Hilal bin Umayyah di jatuhkan hokuman qazaf kerana menuduh Syarik sama, maka sibru wa taqsim ini terbatal.
Oleh itu, pengtaqninan perlu di lihat daripada sudut yang banyak, supaya berada pertengahan antara ifrat dan tafrit. Atau dengan kata lain, supaya perempuan yang di rogol akan terbela, dan perempuan yang tidak bertanggungjawab tidak mudah melakukan tuduhan untuk pekenakan mana-mana lelaki yang tidak di sukai. Sebagaimana ijtihad sahabat tentang tasyrik antara adik beradik sebapa dan seibu sebapa adalah bercanggah dengan harfiyyah al-nas, tetapi ia bertepatan dengan maslahah syara’ dan maqasid syariyyah. Begitu juga kes ini, walaupun pada zahir nas menunjukkan bahawa si pendakwa rogol boleh menerima hokuman qazaf, tetapi ia juga mesti di lihat daripada maslahah syara’ dan maqasid syariyyah sendiri di dalam pengsyariatan qazaf.
Zaharuddin Mohamad

Dewan Ulamak PAS Pusat :Munajat Perdana sempena himpunan aman Bersih 2.0

Harakahdaily   


KUALA LUMPUR, 22 Jun: Dewan Ulama PAS Pusat menyeru diadakan Munajat Perdana di seluruh negara sempena himpunan aman Bersih 2.0 yang dijadualkan pada 9 Julai ini.
“Sempena himpunan aman Bersih 2.0 yang insya Allah akan diadakan 9 Julai ini, maka Dewan Ulama PAS Pusat menyeru supaya seluruh pendukung PAS pimpinan, ahli dan penyokong mengadakan munajat perdana secara besar-besaran di stadium, padang-padang, markaz atau di mana-mana lokasi yang sesuai,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Nazmi Nik Din dalam satu kenyataan.
Katanya, Dewan Ulama setiap negeri diberikan tugas untuk menggerakkan dan merealisasikan ketetapan itu. “Seluruh ahli dan pendokong PAS diseru supaya berdoa dan memohon kepada Allah SWT dengan rasa rendah diri dan tawadhuk di atas luar keupayaan kita untuk menghadapi tipu daya dan kejahatan oleh pihak-pihak tertentu yang mencemarkan proses pilihan raya di negara ini.
“Sebelum ini kita telah mendengar pelbagai penyelewengan yang telah berlaku untuk mengkhianati suara rakyat yang mahukan perubahan terhadap negara Malaysia yang tercinta ini,” katanya. Menurutnya, apa yang berlaku di Terengganu dalam pilihan raya tahun 2004 menyedarkan kita bahawa BN Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan survival mereka terus kekal di Malaysia.
Manakala baru-baru ini, ujarnya kita telah dikejutkan dengan laporan yang menyatakan bahawa terdapat usaha-usaha pihak tertentu yang cuba menyalahgunakan pendatang-pendatang asing untuk mencemarkan kemurniaan dan ‘kebersihan’ pilihan raya di negara ini.
Dewan Ulama, katanya tidak akan merelakan perkara daripada terus berlaku di bumi Malaysia ini.
Beliau menambah, Dewan Ulama akan menggunakan keupayaan yang syarie dan berlandaskan undang-undang negara untuk menjadi benteng bersama sayap yang lain untuk mempertahankan kemurniaan ini.
Jelasnya, Dewan Ulama tidak akan membiarkan mana-mana pihak tertentu samada parti atau NGO untuk menangguk di air yang keruh bagi merosakkan hubungan yang harmoni di antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini.
“Dewan Ulama insya Allah akan memastikan agar himpunan Bersih 2.0 menjadi platform dan simbol perpaduan dan kesatuan rakyat dari pelbagai latar belakang,” ujarnya.

Semua Diseru Jayakan Bersih 2.0


Semua ahli dan penyokong PAS diwajibkan hadir dalam himpunan BERSIH bagi menyatakan sokongan rakyat terhadap tuntutan 8 perkara bagi menjamin keyakinan terhadap sistem demokrasi Berparlimen.

Himpunan demonstrasi aman ini bukanlah perkara baru dalam konteks negara. Selepas PRU ke 12, UMNO ternyata lebih banyak mengadakan demo berbanding PR. Apa yang menarik demo ini dikawal oleh polis tanpa ada prokasi. Ia berjalan dengan aman. Bawa kepala lembu, bakar gambar, bakar bendera dan istihar perang khususnya anjuran PERKASA; seolah-olah sabuah badan yg mempunyai kekebalan.

PAS mengucapkan tahniah kepada kebebalan PERKASA yang mengeluarkan pelbagai kenyataan bersifat provokasi, kerana ini tentulah memudahkan polis untuk menahan mereka yg melakukan provokasi. Kalau yang buat provokasi tentulah PERKASA; tapi jangan terkejut kalau yg kena tahan ialah PAS, PKR atau DAP.

PAS juga mengalu-alukan penyertaan Pemuda UMNO yang akan ikut sama demo pada 9hb Julai nanti. Keberanian Khairy kali ini agak luar biasa, cabar polis dan sedia ditangkap. Cuma PAS hairan Pemuda UMNO sertai demo untuk menuntut apa?. Kalau tuntutan kita atas 8 perkara, maka Pemuda UMNO nak tuntut apa?.

Kata Khairy mereka menuntut penambahbaikan sistem Pilihanraya di Malaysia. Maknanya Pemuda nampaknya lebih faham berbanding UMNO tua yg berlindung di bawah dagu PERKASA.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Pilihanraya Masjid, Umno Berpenyakit

Apabila Kerajaan Pakatan Rakayat Pulau Pinang memperkenalkan pemilihan jawatankuasa masjid ala pilihanraya, Umno yang bersikap berpenyakit bebal cuba eksploit isu ini dengan harapan supaya orang melayu semakin marah dengan Pakatan Rakyat kerana mempolitikkan masjid.


Pada hal pemilihan ini adalah cara sahaja berubah, dulu angkat tangan sekarang hendak dibuat ala pilihanraya.Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 adalah mengikut Seksyen 104 (1) (b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (negeri Pulau Pinang).


 Tatacara baru itu memberikan hak kepada anak kariah untuk mencadangkan jawatankuasa masjid masing-masing kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.Selepas tarikh pencalonan ditutup Selasa lalu, 193 daripada 200 masjid sudah menghantar senarai pencalonan masing-masing yang membuktikan majoriti kariah menerima pakai tatacara pemilihan diperkenalkan. Malah, ada masjid mengadakan kompromi di kalangan ahli kariah masing-masing untuk mengelak berlakunya pertandingan.


 Memang Umno anti pembaharuan, kerana selama ini mereka berfikiran jumud dan zero IQ. Sebab itu setiap pembaharuan yang dibuat selain daripada Umno ia akan ditentang secara melulu, walaupun akhirnya mereka akan meniru. Rakyat Malaysia tentu masih ingat ketika Kerajaan Kelantan memperkenalkan hari bekerja selama lima hari seminggu, pemimpin Umno menuduh kerajaan Kelantan malas dan akan merendahkan produktiviti. Tidak berapa lama kerajaan pusat mengikut jejak langkah yang sama.


Mereka akan manipulasi isu ini untuk menuduh kerajaan Pakatan Rakyat menimbulkan kecelaruan kepada orang Islam. Apa yang paling kelakar mereka berhujah kenapa kuil dan gereja tidak ada pemilihan ahli jawatankuasa seperti pemilihan ahli jawatankuasa masjid.


Sebenarnya Umno hendak melindung kerja jahat mereka terhadap institusi masjid di bawah kerajaan Barisan Nasional. Pemilihan yang tidak demokratik, ia hanya dipilih oleh pemimpin Umno bukan anak kariah. Perlantikan bukan ahli masjid, yang tidak layak dari segi peribadi untuk imarahkan masjid. Tetapi oleh kerana ia dibinkan dengan Umno maka semua boleh. Kita boleh lihat masjid di negeri Umno dan Pakatan Rakyat dari segi imarah. Masjid di negeri Umno mati sebelum ahli kariah mati.


Ustaz Idris Ahmad
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Himpunan Bersih 2.0 Cetusan dan Hasrat Rakyat


PAS menganggap laporan Polis yg dibuat oleh Umno membuktikan mereka adalah golongan yg mempertahankan ketidakadilan dalam sistem politik negara. Bahkan mereka akan terus mempertahankan kebobrokan sistem ini bagi mengekalkan pengaruh dan kekuasaan mereka. Sepatutnya mereka melihat secara rasional kenapa himpunan ini diadakan. PAS ingin tegaskan bahawa Himpunan ini diadakan setelah pelbagai saluran digunakan bagi memperbaiki sistem politik negara. Pelbagai dialog, diskusi laporan polis dan SPRM telah dibuat bagi memperbaiki kelemahan dalam perjalanan sistem pilihanraya umum di Malaysia.

Rakyat sepatutnya melihat kenapa himpunan ini diadakan. Ia bukan himpunan saja suka-suka bagi menimbulkan kegawatan, atau mengganggu ketenteraman awam sebagaimana yg dibimbangi oleh orang ramai. Himpunan ini akan berjalan lancar dan aman sekiranya tiada provokasi dari pihak yg tidak bertanggungjawab. Dengan ratusan petugas unit amal dan kawalan pemuda PR kita yakin ia mampu berjalan dengan aman dan baik.

Tindakan Umno membuat laporan polis mencerminkan sikap dauble standard mereka kerana mutakhir ini merekalah menjadi juara dalam menganjurkan demonstrasi di negeri PR, sayang polis hanya menonton sahaja walaupun demo tersebut bersifat provokasi agama dan kaum.

Sebenarnya pihak kerajaan mampu mengatasi himpunan ini dengan menerima tuntutan BERSIH kerana ianya bukanlah sesuatu yang terlalu sukar untuk dilaksanaskan. Kerajaan mesti sedar tindakan menyalahgunakan kuasa atas nama demokrasi hanya akan menanam kemarahan rakyat. Kerajaan mesti menyediakan saluran bagi melempias kemarahan dan rasa tidak puashati rakyat. Tunaikan tuntutan atau sedia hadapi himpunan aman rakyat. Tujuan kami satu, demokrasi yang lebih adil untuk semua demi kebaikan negara.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat