Saturday 30 July 2011

Marhaban Ya Ramadhan..


Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu. ..kepada- NYA Tuhan yang satu
Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan.. .sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil... menangisi kecurangan janji
"innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin"
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku...
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syairkan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih.. .berqiamullail. ..bertahajjud. ..
mengadu...merintih. ..meminta belas kasih
"sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU"

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari...suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan

Andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman

Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti

Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia ...meminta belas-NYA


wahai tuhan ku tak layak kesyurgamu ... namun tak pula aku sanggup ke Nerakamu ... kami lah hamba yang mengharap belas darimu "ya allah jadikan lah kami hamba2 mu yang bertaqwa..ampunkan dosa2 kami kedua ibubapa kami .dosa semua umat2 islam yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia" Amin.....

AL FATIHAH

Al Fatihah atas pemergian seorang pemimpin wanita Islam berjiwa rakyat...Semoga roh Dr.Lo'Lo' ditempatkan bersama-sama golongan yang diredhai Allah SWT...

Perjuangan Dr Lo’ Lo’ perlu diteruskan
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 19 Julai: Pemergian Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali malam semalam sangat dirasai oleh seluruh ahli Dewan Pemuda PAS Titiwangsa kerana peranan beliau sangat penting dalam perjuangan PAS di Titwangsa dan semestinya amat sukar dicari ganti.

Timbalan ketuanya, Mohd Shahir Abu Hasan berkata Almarhumah Dr Lo' Lo' juga seorang yang gigih berjuang dan telah berjaya dengan segenap tenaga melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya.

“Dan ini terbukti beliau telah berjaya menempatkan diri di hati masyarakat parlimen Titiwangsa khususnya selepas beliau diamanahkan sebagai wakil rakyat pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu,” katanya.

Beliau menambah, walaupun peruntukan tahunan yang sepatutnya disalurkan kepada setiap ahli parlimen disekat, ia tidak mematahkan semangat almarhumah untuk terus berjuang memberikan khidmat kepada rakyat di Titiwangsa sehingga nafas terakhir.

“Jasa dan peranan beliau sangat besar, dan sifat beliau sebagai seorang ibu yang sering memberi teguran dan nasihat kepada Pemuda tidak akan kami lupakan malah akan menjadi azimat kepada perjuangan kami,” katanya.

Justeru, ujarnya Dewan Pemuda PAS Titiwangsa, telah bersedia menyahut amanat beliau agar terus mempertahankan Parlimen Titiwangsa dalam Pilihanraya Umum Ke-13 yang akan datang dengan segenap tenaga dan kekuatan Pemuda.

“Pemuda juga berjanji akan terus memikul amanah rakyat yang telah ditinggalkan oleh beliau kepada kami, bersama-sama dengan PAS kawasan dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Titiwangsa,” katanya.

Bagi mereka yang ingin membuat sumbangan kewangan bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan yang telah ditinggalkan allahyarhamuha di Titiwangsa, dan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa kepada PAS, bolehlah berbuat demikian dengan memasukkan wang ke akaun Dewan Pemuda PAS Titiwangsa BIMB 14041010075204.

Semoga setiap sumbangan akan diganjari dengan kebaikan berlipat kali ganda daripada Allah SWT.

Bila Negeri Bawah Umno Dapat Buat Larangan

Kejayaan kerajaan Kedah melaksanakan enakmen pengharaman hiburan tempat terbuka sepanjang Ramadhan baru-baru ini telah mendapat pengiktirafan mufti dan pelbagai NGO, termasuk beberapa NGO wanita yang bukan Islam sebagaimana dilaporkan oleh akhbar-akhbar.


Kelantangan parti MCA dan Gerakan yang selalu mengikut telunjuk Umno dalam menentang rancangan kerajaan Kedah untuk menguatkuasakan Penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang telah diluluskan 14 tahun yang lalu oleh kerajaan pimpinan Umno sendiri telah menonjolkan kepada rakyat sikap hipokrit mereka yang ketara - kerana golongan inilah yang juga menyokong enekmen tersebut sewaktu dibentang dulu, kini tetiba cuba menjadi hero kononnya atas alasan untuk membela hak bukan Muslim.

Tindakan kerajaan Kedah untuk meneruskan pelaksanaan enakmen ini, dengan membuat sedikit pindaan supaya keputusan kerajaan dapat diterima oleh semua pihak dengan hanya mengenakan larangan ketat ke atas umat Islam untuk memasuki premis-permis hiburan seperti karaoke, pub, disko dan persembahan terbuka.

Tindakan tersebut adalah satu pendekatan yang bijak bilamana para pengusaha pusat hiburan bersetuju untuk membantu kerajaan negeri dalam memastikan umat Islam tidak memasuki premis mereka dan juga menyatakan kesediaan mereka untuk dikenakan tindakan seandainya berlaku perlanggaran terhadap enakmen ini.

Ini adalah satu lembaran baru kerana kerajaan Kedah di bawah PAS telah dapat melaksanakan enakmen yang membawa kebaikan kepada umat Islam negeri tersebut yang selama ini tidak dapat dilakukan oleh Umno yang memerintah negeri itu sekian lama.

PAS hari ini menyeru negeri-negeri di bawah kekuasaan Umno Barisan Nasional untuk turut bersama untuk melaksanakan peraturan larangan bagi umat Islam memasuki premis hiburan sepanjang Ramadhan, sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Jangan pula dalam keseronokan mereka menyerang PAS dalam isu ini, mereka terlupa bahawa umat Islam tahu bahawa mereka langsung tidak pernah berbuat apa-apa untuk membentuk environment Ramadhan yang sesuai untuk umat Islam negeri tersebut.

Kini umat Islam sedang menanti bilakah Umno, yang selalu berheboh bahawa merekalah pejuang Islam yang sebenar akan menguatkuasakan larangan in di negeri-negeri mereka pula?


Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

Wardina : Mangsa Fahaman Politik Sempit

Allah berfirman di dalam Alquran:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (An-Nuur: Ayat 31).

Dewan Muslimat PAS Selangor kesal tindakan blogger yang telah mengaibkan Wardina Safiyyah hanya semata-mata menghadiri program Karnival Mesra Rakyat anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Kelana Jaya 26 Jun 2011 yang lalu. Tindakan blogger mempamerkan gambar-gambar Wardina yang tidak berhijab menjatuhkan maruah seorang wanita muslim yang telah bertaubat dari dosanya yang dulu.

Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot merupakan seorang pengacara, pelakon dan penceramah motivasi keluarga. Dia mempunyai hak untuk menghadiri mana-mana ceramah motivasi yang dianjurkan oleh mana-mana negeri yang telah di pilih melalui pilihanraya yang sah di sisi undang-undang Malaysia. Malangnya dalam konteks demokrasi di Malaysia, tiada ruang yang bebas untuk berbincang dan bertukar-tukar fikiran antara pelbagai fahaman politik dan agama. Hanya fahaman yang menyokong Kerajaan Barisan Nasional sahaja dianggap betul. Fahaman selain darinya akan dianggap sebagai penentang dan musuh kepada kerajaan BN. Bila mereka, terutama selebriti popular, dilihat bersama pemimpin bukan dari kalangan pemimpin BN, mereka akan di serang dan diaibkan.Budaya politik kotor ini telah lama berakar umbi dalam pemikiran penyokong-penyokong UMNO dan mereka menyerang tanpa memikirkan dosa atas perbuatan mereka. Padahal mereka terdiri dari orang Islam tetapi telah merosakkan kesucian Islam.

Firman Allah swt :-

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

"dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) " [surah al-Maaidah : 2]

Dewan Muslimat PAS Selangor menyokong penuh tindakan Wardina ke atas blogger tersebut. Kesucian wanita Islam wajib dipertahankan oleh setiap orang Islam tanpa mengira fahaman politik.

Wan Hasrina Wan Hassan
Ketua Muslimat PAS Selangor

Bersih Sudah Berjaya 60%. Giliran Rakyat Untuk Jayakan 40% Yang Akhir Dengan Hadiri Perhimpunan Di Stadium

PAS mengucapkan syabas kepada semangat kental yang ditunjukkan oleh para penganjur Bersih 2.0 yang berjaya menunjukkan tahap ketabahan yang mengkagumkan sepanjang minggu lepas walaupun diasak, diugut dan dipersenda oleh mereka-mereka yang berkuasa tapi tidak menghormati undang-undang sehingga mendapat Bersih 2.0 mendapat pengiktirafan diRaja apabila diberi peluang untuk menghadap Yang DiPertuan Agong.

PAS juga mengucapkan setinggi tahniah kepada kebijaksaan Yang DiPertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut yang sengaja diwujudkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab semata-mata kerana ketakutan menghadapi pilihanraya pada satu padang yang sama rata.

Di sini, PAS ingin menegaskan bahawa Bersih 2.0 ialah sebuah badan bukan politik dan berkecuali. Namun, oleh kerana dasar perjuangannya untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil demi masa depan negara dan generasi akan datang, maka PAS menyokong Bersih 2.0, termasuklah keputusannya untuk mengadakan perhimpunan aman pada Julai 9 ini di Kuala Lumpur.

Walaupun tempat perhimpunan aman bertukar daripada demonstrasi aman di jalanraya kepada stadium, PAS menyeru seluruh ahlinya untuk tetap menghadirkan diri di stadium yang ditentukan nanti untuk menyokong Bersih 2.0 kerana dasar perjuangannya tetap sama iaitu untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil di negara ini.

Kepada para penyokong Bersih 2.0 yang kecewa dengan kompromi ini, bersangka baiklah pada jawatankuasa Bersih 2.0 telah melakukan yang terbaik demi rakyat.

Daripada digelar sebagai satu pertubuhan haram, diasak oleh Kementerian Dalam Negeri dengan menggunakan polis dan akta-akta yang zalim seperti Akta Ordinan Darurat 1966 sehinggalah mendapat restu dan pengiktirafan diRaja dengan diberi peluang menghadap Agong, rakyat perlu kagum dan bangga dengan kegigihan aktivis-aktivis Bersih 2.0 untuk meneruskan agenda mereka tanpa gerun demi rakyat.

Dengan kegigihan jawatankuasa Bersih 2.0 dan juga publisiti percuma daripada Umno Barisan Nasional dan medianya serta tindakan KDN yang mengarah polis untuk bertindak melampau dengan mengada-adakan konspirasi tak masuk akal terhadap Bersih 2.0, pergerakan itu kini dikenali di seluruh pelosok negara.

Rakyat kini tahu akan apa itu Bersih 2.0, apakah tuntutan mereka dan juga keganasan kerajaan Barisan Nasional.

Bersih 2.0 sudah mencapai 60% matlamatnya – kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya.

Rakyat kena yakinkan diri sendiri dan kawan-kawan kita yang lain yang sedar tentang kewujudan dan fungsi Bersih 2.0 dengan menghadirkan diri secara beramai-ramai ke perhimpunan awam nanti.

Dengan stadium yang melimpah, percayalah bukan sahaja rakyat sendiri berasa yakin mereka tergolong dalam golongan majoriti yang menuntut perubahan dalam sistem pilihanraya, bahkan juga kerajaan pimpinan Barisan Nasional bahawa rakyat menuntut perubahan dilakukan segera sebelum pilihanraya ke 13 diadakan.

Itulah 40% lagi, yang hanya boleh diusahakan oleh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan untuk menjayakan Bersih 2.0 sepenuhnya.

Namun begitu, PAS juga ingin mengingatkan Pakatan Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap penyokong Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan rakyat kepada kita.

Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di’offset’kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa.

8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa.

Pakatan Rakyat juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, kita bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional. Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara.

Untuk kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya, PAS menasihatkan agar menunaikan 8 tuntutan Bersih 2.0 ini. Barisan Nasional akan menghayati kepentingannya sekiranya di pilihanraya umum ke 14 apabila tewas di pilihanraya ke 13 nanti.


Namun demikian, tidak perlu bimbang, sekiranya Pakatan Rakyat diberi kuasa memerintah nanti, kita akan pasti supaya 8 tuntutan ini dilaksanakan supaya kita dapat bersaing secara sihat dan seimbang di padang yang sama rata dengan semua pembangkang - dengan penuh keyakinan daripada rakyat bahawa demokrasi negara adalah subur, telus dan tulen.


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
6 Julai 2011

Kenyataan Media Presiden PAS : 'Menjunjung Kasih Titah Tuanku Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong

Parti Islam Se-Malaysia PAS menjunjung tinggi titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada hari Ahad 3 julai 2011 mengenai isu perhimpunan aman BERSIH 2.0 yang hangat diperkatakan pada waktu ini. Seluruh kepimpinan PAS merasa amat berbesar hati dengan keprihatinan dan perhatian yang diberikan oleh Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai pelindung keluhuran perlembagaan negara dan lambang berdaulat negara kita ini.

Titah Seri paduka Baginda Tuanku bahawa dalam setiap permasalahan yang timbul, sebagai masyarakat yang bertamadun kita hendaklah mencari jalan penyelesaian secara rundingan dan tidak mengikut perasaan. Ini adalah amat tepat sekali dalam merungkai perkara yang dibangkitkan, iaitu pembaharuan terhadap keseluruhan sistem pilihanraya bagi menyuburkan demokrasi dalam negara kita ini.

Sehubungan dengan itu, maka PAS bersedia untuk menghantar wakil bersama dengan BERSIH 2.0 dan rakan politik dalam Pakatan Rakyat serta semua pihak yang cintakan keamanan untuk berunding dan seterusnya mengadap ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Tuanku bagi menjelaskan kekeliruan yang timbul hasil dari liputan buruk yang dimainkan terhadap bantahan aman ini. Kesan dari salah faham initelah menimbulkan provokasi pihak tertentu yang memberi gambaran seolah-olah keadaan sudah tidak terkawal sehingga undang-undang negara juga sudah tidak dihormati lagi olehpihak berkuasa.

PAS percaya bahawa asas penyebab utama bantahan ini perlulah digali-selidik dengan hati terbuka dan penuh keikhlasan, terutamanya oleh pihak kerajaan yang memegang tampuk pemerintahan dalam negara kita pada ketika ini. Ini juga selari dengan titah Seri Paduka Baginda Tuanku supaya pihak kerajaan wajar untuk melaksanakan amanah dengan secara adil dan bijaksana. Tercetusnya idea bantahan ini adalah kerana terlalu banyak kelemahan dalam amalan pilihanraya di Malaysia dengan berlakunya penipuan, rasuah dan salah guna kuasa dan media secara tidak demokratik. Keadaan ini semakin buruk walaupun kita telah mencapai kemerdekaan lebih dari 50 tahun dan sudah dua belas kali pilihanraya umum diadakan. Sejak Sekian lama ini,kerajaan Barisan Nasional telah banyak menyalahgunakan kuasa mereka di atas nama demokrasi, walaupun negara-negara di seluruh dunia sudah banyak melakukan reformasi terhadap sistem pilihan raya dan demokrasi yang membawa kebaikan kepada seluruh rakyat.


Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang

Presiden Parti Islam Se-Malaysia

4 Julai 2011/ 2 Syaaban 1432 H

KDN Dinasihatkan Benteng Kemarahan Rakyat Dengan Keadilan Dan Perhatian, Bukannya Polis.

PAS mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertindak untuk mengharamkan Pertubuhan Bersih 2.0, yang terdiri daripada gabungan 62 NGO yang sah dan berdaftar 6 hari menjelang perhimpunan Bersih 2.0 Julai 9 ini.

PAS juga menyelar tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang telah menyalahgunakan kuasa yang ada dengan bertindak di luar batas undang-undang untuk mengharamkan Bersih 2.0 di bawah seksyen 5 Akta Pertubuhan 1966 kerana ia jelas bercanggah dengan dengan Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan berpersatuan untuk rakyat seperti yang dinyatakan peguam Hak Asasi Manusia, N Surendran.

PAS menghidu tindakan kerajaan BN untuk mengisytiharkan Bersih 2.0 sebagai pertubuhan yang tidak pernah didaftar semata-mata bertujuan supaya gabungan 62 NGO tersebut boleh dianggap pertubuhan haram bagi membolehkan KDN mengerahkan polis untuk bertindak ke atas pemimpinnya.

Tindakan ini dilihat langkah awal bagi melakukan tangkapan besar-besaran ke atas para pimpinan NGO yang menyokong Bersih 2.0 termasuk Pakatan Rakyat kononnya mencetuskan suasana gawat dalam negara; walhal jelas di mata orang awam bahawa Umno dan Perkasa merupakan pihak yang mencetuskan kontroversi dalam mengadakan perhimpunan Julai 9 ini.

PAS juga melihat tindakan KDN ini seolah-olah cuba mendapatkan keizinan perundangan ke atas tindakan yang bakal dilakukan.

Menteri Dalam Negeri sewajibnya bertindak dengan lebih profesional melayani kehendak rakyat ke arah sistem pilihanraya yang lebih baik dan adil daripada menumpukan kepada kerja untuk memburukkan Bersih 2.0.

Keyakinan rakyat kepada sistem pilihanraya yang bersih dan adil adalah asas keyakinan dan kesejahteraan negara.

KDN boleh mengarahkan polis untuk menghalang dari sudut fizikal, namun perlu diingatkan rasa tidak puas hati rakyat akan terus membara dan marak, sehingga ianya boleh mencetus pemberontakan dalaman. Sepatutnya ini yang perlu dinilai oleh KDN.

Sewaktu seorang gabenor memohon peruntukan tambahan kepada Khalifah Umar bin Abdul Aziz bagi membuat benteng bagi menahan pemberontakan rakyat terhadap pemimpin, Umar membalas surat permohonan gabenornya dengan katanya:

“Bentenglah kemarahan rakyatmu dengan keadilanmu, mendengar rintihannya, melayani aduan mereka; itu lebih teguh benteng daripada kota yang kamu cuba bina.”

Wahai KDN, ambillah iktibar daripada Umar bin Abdul Aziz sebelum terlambat.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man,
Ketua Penerangan PAS Pusat

Dakwat Kekal vs. Biometrik : Mana yang lebih baik?

Penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya merupakan satu daripada lapan tuntutan BERSIH 2.0. Ianya mudah, lebih murah dan sangat berkesan untuk mengesan pengundi berulang. Dalam tahun 2007, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) telah membuat keputusan untuk menggunakan dakwat kekal. SPR telah membatalkannya di saat-saat akhir atas sebab perundangan dan kemungkinan berlakunya sabotaj walaupun telah membelanjakan RM3 juta.


Baru-baru ini SPR bercadang untuk menggunakan biometrik untuk mengesan identiti pengundi pada pilihanraya akan datang (Petikan dari Berita Harian)


SPR guna biometrik
Oleh Johari Ibrahim dan Haika Khazi
bhnews@bharian.com.my
2011/06/21
Teknik imbasan ibu jari sah identiti pengundi PRU ke-13

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan sistem biometrik atau teknik imbasan ibu jari bagi mengenal pasti dan mengesahkan identiti pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 kelak. Untuk melaksanakannya, SPR akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan sistem biometrik yang diguna pakai beberapa agensi, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen untuk mengesan kemasukan pendatang asing, digunakan pada pilihan raya umum akan datang.


Satu-satunya kelebihan yang ada pada sistem ini ialah biometrik boleh mengesan pemilik kad pengenalan secara berkesan. Terdapat beberapa isu dalam sistem ini yang perlu dipertimbangkan sebelum dilaksanakan.


1. MyKad yang kurang bermutu dan cepat rosak.


Tahun lepas, Berita Harian melaporkan 4.5 juta kad pengenalan hilang dan rosak. Jika separuh daripada 4.5 juta tersebut adalah pengundi berdaftar, bermakna 2.25 juta pengundi adalah pengundi berdaftar dinafikan hak mereka untuk mengundi. Terutama penduduk luar bandar yang tidak pernah menggunakan MyKad dalam transaksi harian mereka, mereka mungkin mempunyai MyKad yang rosak tetapi tidak mengetahuinya.


Kerajaan timbang ganti MyKad
Oleh Hardi Effendi Yaacob dan Mohd Azis Ngah
bhnews@bharian.com.my
2010/05/04
KDN kenal pasti pelaksanaan, keputusan bergantung kepada peruntukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti untuk menggantikan MyKad dengan kad pengenalan versi baru yang lebih moden, terutama dari segi kegunaan dan ciri keselamatannya, namun perlu dilakukan berhati-hati kerana membabitkan perbelanjaan besar.


Kerajaan membelanjakan lebih RM1 bilion bagi menanggung kos pengeluaran MyKad dan sistem berkaitannya sejak mula diperkenalkan 10 tahun lalu bagi menggantikan kad pengenalan bermutu tinggi (KPT). Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Mahmood Adam memberitahu Berita Harian, cadangan menggantikan MyKad pernah dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), namun ditangguhkan berikutan kekangan ekonomi.

“Kabinet memutuskan penukaran (MyKad) tidak dibuat ketika itu kerana belanjanya besar dan banyak projek lain yang perlu diberikan keutamaan. Ia seterusnya diserapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan diteliti sekali lagi. “KDN juga sudah mengenalpasti pelaksanaannya, namun belum ada apa-apa keputusan setakat ini dan semuanya bergantung kepada soal peruntukan kerana kita tidak mahu membebankan kerajaan dan rakyat,” katanya.

Beliau mengulas isu kehilangan dan kerosakan kira-kira 4.5 juta kad pengenalan pintar itu yang didedahkan akhbar ini, tiga hari lalu, dengan ada antaranya dikesan dipalsukan untuk pelbagai tujuan jenayah. Difahamkan, walaupun belum ada keputusan dicapai berhubung cadangan itu, namun pelbagai usaha menambah baik MyKad sedia ada tetap diteruskan, dengan keutamaan untuk meningkatkan ciri-ciri keselamatannya.


2. Kos awalan yang lebih tinggi berbanding penggunaan dakwat kekal.


Penggunaan biometrik memerlukan perkara berikut :


a. Pembaca MyKad (MyCard Reader)
b. Komputer
c. Sistem Perisian
d. Perkhidmatan Jalur Lebar
e. Tenaga Elektrik
f. Latihan kepada petugas SPR


Sebagai contoh dalam Pilihanraya Negeri Sarawak , DUN Sadong Jaya mempunyai 16 Pusat Mengundi.
Anggapan secara minima satu komputer untuk 1 Pusat Mengundi. Jadi sekurang-kurangnya 16 buah komputer berserta pembaca MyKad diperlukan.
Anggapan kos RM3,000 untuk 1 Pusat Mengundi.
Kos untuk DUN Sadong = 16 x RM3,000 = RM48,000
Kos untuk seluruh DUN Sarawak jika dijadikan purata =
RM48,000 x 71 DUN = RM3,408,000


Jika anggaran kos di atas diambil kira, kos penggunaan biometrik untuk negeri Sarawak sahaja telah melebihi kos dakwat kekal untuk seluruh Malaysia. Jumlah ini hanyalah melibatkan 31 daripada 222 parlimen di Malaysia. Mengapa SPR hendak membazirkan wang rakyat untuk membuat sistem melibatkan kos yang tinggi sedangkan penggunaan dakwat kekal lebih praktikal dan murah?


3. Sistem Perisian yang belum teruji


Dalam pilihanraya umum, ada 222 Kawasan Parlimen di seluruh Malaysia yang akan berjalan serentak. Mampukah SPR menjamin sistem perisian berjalan lancar tanpa gangguan sedangkan sistem ini belum diuji dalam mana-mana pilihanraya?

4. Penipuan MyKad

Sistem biometrik tidak dapat mengesan berlakunya pengundian berulang jika adanya penipuan MyKad. Dakwat hitam boleh mengelakkan pengundi berulang berbanding sistem biometrik.

5. Perkhidmatan Jalur Lebar tidak meliputi ke seluruh Malaysia.

Perkhidmatan Jalur Lebar tidak meluas hingga ke kawasan pendalaman. Bagaimanakah sistem biometrik ini boleh berfungsi di pendalaman Sabah dan Sarawak?

6. Bekalan Tenaga Eletrik yang konsisten semasa pengundian dijalankan

Dapatkah Tenaga Nasional memberi jaminan bekalan yang berterusan semasa pengundian dijalankan? Apakah yang akan terjadi jika bekalan terputus dalam tempoh yang lama?



Penggunaan dakwat kekal tidak menggunakan bekalan elektrik dan perkhidmatan jalur lebar. Secara praktikalnya, penggunaan dakwat kekal ternyata lebih baik, berkesan dan ekonomik berbanding biometrik.

Ketua Lajnah Penerangan dan Dakwah
Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor